Wednesday, November 24, 2010

PENGENALAN

Untuk mengajar tentang topik Mengukur Isipadu Cecair, kita terlebih dahulu perlu tahu dan memahami beberapa perkara penting mengenai ukuran atau sukatan isipadu cecair. Pengetahuan pedagogi ini amat berguna bagi memastikan murid-murid benar-benar faham tentang isipadu cecair agar tidak tersalah konsep ketika menyukat isipadu cecair.

Biasanya kesilapan yang berlaku ketika menilai isipadu cecair ialah murid tidak tahu membezakan kuantiti air,  paras air dan juga saiz bekas. Sebagai contoh jika isipadu cecair adalah sama tetapi diisikan dalam bekas yang berlainan saiz, mungkin murid akan menyatakan bahawa saiz yang lebih besar atau paras air yang lebih tinggi yang mempunyai isipadu air yang lebih banyak seperti paparan video ini.



Dalam video ini menunjukkan, terdapat dua gelas air susu yang sama banyak, setalah salah satu air susu dalam gelas dituang ke dalam bekas yang lebih kecil diameternya, menyebabkan paras air menjadi lebih tinggi berbanding paras air susu pada gelas yang asalnya. Ini menyebabkan kanak-kanak tersebut menyatakan air susu dalam gelas yang mempunyai paras air paling tinggi mempunyai isipadu air yang lebih banyak.

Bagi mengelakkan kesilapan ini tidak berlaku, kita memerlukan pelbagai jenis benda yang berlainan saiz dan ketinggian yang berbeza untuk mengukur isipadu cecair ini. Biarkan murid melakukannya sendiri sambil mengikut arahan atau langkah yang diberikan oleh guru. Pastinya pengalaman dalam aktiviti ini dapat memberikan pengetahuan yang berguna dan pemahaman yang mendalam tentang isipadu cecair. Di sini diselitkan juga satu contoh video tentang cara mengukur isipadu cecair.